“Yea, yea! Esok raya!”
“Boleh dapat banyak duit. Kalau di kampung, lagi banyak dapat duit raya”
Itu dahulu. Ketika masih zaman kanak-kanak. Hari raya ditunggu, dan kemeriahan Syawal lebih dirasai berbanding Ramadhan. Apabila menginjak dewasa, suasana sudah berubah. Menyambut Ramadhan lebih dirasai keseronokannya berbanding Syawal.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).
(Al-Bukhari dan Muslim)
Dua hari lagi harinya bakal tiba. Terasa pantas benar masa berlalu. Tiba-tiba hati dipuput sayu. Sayu mengenangkan kurangnya persediaan menghadapi Ramadahan kali ini. Buktinya, seakan tidak terasa Ramadhan yang bakal tiba.
Masjid yang dikunjungi hanya dipenuhi seperempat saf hadapan. Lebih kurang daripada biasa. Terasa hairan juga. Biasanya jika hampir bulan Ramadhan, orang akan lebih ramai datang ke masjid. Adakah aura Ramadhan masih tidak dirasai lagi? Namun, pengajian tetap diteruskan seperti biasa. Tafsiran Surah Al-An’am, ayat 151-156. Sesekali turut dikaitkan dengan puasa dan Ramadhan. Bulan Ramadhan, digalakkan melipatgandakan ibadat. Banyakkan bersedekah dan membaca Al-Quran, melebihi daripada bulan-bulan lain. Menjelang solat Isyak, jemaah wanita memenuhi satu saf seperti biasa. Seakan sudah menjadi trend, masjid dikunjungi hanya pada bulan Ramadhan untuk menunaikan solat tarawikh, pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Benarlah masjid dilihat hanya untuk dikunjungi secara bermusim. Kemudian, masjid akan dipandang sepi. Benar, memang terdapat khilaf tentang wanita yang menghadiri masjid. Ada pendapat yang melarang, ada yang mengharuskan. Terpulanglah pada individu pendapat mana yang hendak digunakan. Asalkan ada ilmu, ada hujahnya.
Hati kembali sayu mengenangkan Ramadhan yang bakal tiba. Terasa Ramadhan yang lalu tidak digunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan amal ibadah. Sangkaku, tidak perlulah beramal ibadah ‘bagai nak rak’ bila menjelangnya Ramadhan, namun kembali meneruskan gaya hidup asal apabila berakhirnya Ramadhan. Lebih baik amal yang sedikit tetapi konsisten. Namun, sangkaanku meleset. Meleset sama sekali. Bulan Ramadhanlah masa yang paling baik untuk mentarbiyah diri kita meningkatkan amal kebaikan dan kebajikan. Justeru, impaknya akan dapat dilihat dan dirasai pada 11 bulan yang lain. Jika tidak ditingkatkan pada bulan Ramadhan, bagaimanakh 11 bulan yang lain dapat ditingkatkan juga amalannya? Ibarat sang pelumba lari jarak jauh. Di awal pecutannya perlu lebih ke hadapan daripada orang lain supaya dia bersemangat untuk meneruskan lariannya. Larian kita, yakni perjalanan kita mugkin jauh, mungkin sudah dekat. Ada yang berjaya menghabiskan larian, ada juga yang semput di tengah jalan. Masih sempatkah untukku menyambut Ramadhan kali ni? Masih adakah Ramadhan lagi untukku? Ya Allah, sampaikanlah aku kepada Ramadhan dan berilah kekuatan untukku menghidupkan Ramadhan..
Just nak share beberapa tips tentang pengisian Ramadhan. Moga-moga diberikan kekuatan untuk beramal, insya-Allah...
BAGAIMANA MENYAMBUT RAMADHAN MENGIKUT SUNNAH?
1. Menahan amarah lebih-lebih lagi bila ada orang cuba memulakan pergaduhan dengan kita. Rasulullah SAW mengajar jika ada orang menyakiti kita katakan: “ Sesungguhnya aku sedang berpuasa.. sesungguhnya aku sedang berpuasa.” [ Sahih al-Bukhari: 1904 {Kitab Puasa, Bab Mengatakan Aku Berpuasa Bila dicela}]
2. Menahan lidah dari mengumpat dan mengadu domba (gosip) yang bukan sahaja haram di dalam Ramadhan bahkan bulan-bulan yang lain. Sabda Nabi SAW: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor.” [riwayat al-Hakim, disahihkan al-Albani dalam Sahih al-Jami’ as-Saghir:5376]
3. Menjaga solat fardhu berjemaah
4. Solat terawikh berjemaah bagi lelaki dan perempuan. Sabda Nabi SAW: “…Sesungguhnya sesiapa yang yang bersolat (terawikh) bersama imam sehingga selesai, maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanang malam.” [riwayat an-Nasai’, disahihkan al-Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai’:1604].
5. Bersahur dan sunat melewatkannya sehingga masuk waktu Subuh. Baginda SAW bersabda: “Bersahurlah kerana di dalam sahur itu ada keberkatan.” [Sahih al-Bukhari:1923]
BAGAIMANA BERBUKA PUASA MENGIKUT SUNNAH?
1) Menyegerakan berbuka apabila masuk waktu Maghrib. Sabda Baginda SAW: “Manusia sentiasa di dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka.” [Sahih al-Bukhari:1957].
2) Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak yang masih basah, manakala tamar ialah kurma yang kering. Dari Anas RA katanya: “Rasulullah SAW berbuka sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda SAW minum beberapa teguk air.” [Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi, katanya hadis hasan. Al-Diya al-Maqdisi mensahihkannya, al-Ahadith al-Mukhtarah 4/411]
3) Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan rutab, tamar dan air sekiranya makanan belum dihidangkan.
4) Makan dahulu sekiranya makanan telah dihidangkan. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh gapah ketika makan malam kamu.” [Muttafaq ‘Alaih, lihat Sahih al-Bukhari:672]
5) Makan dengan kadar yang tidak berlebihan. Firman Allah SWT: “Makan dan minumlah kamu, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan.” [al-‘Araf 7:31]
6) Berdoa ketika berbuka. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” [Ibn Majah di dalam Sunannya:1753. Sanadnya Hasan]. Terdapat sebuah doa’ yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika berbuka puasa dan sunat mengamalkannya:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللّهُ
“Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, Insya-Allah.” [Abu Daud di dalam Sunannya:2357, sanadnya Hasan]
7) Mendoakan orang yang menjamu kita berbuka. Anas bin Malik RA meriwayatkan: “Nabi SAW pernah datang ke (rumah) Sa’ad bin ‘Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda SAW pun makan dan bersabda:
أَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ المْلائكةُ
“Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makan makanan kamu orang yang baik, dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”[Sunan Abu Daud:3854, ad-Diya al-Maqdisi menyatakan ia sahih di dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 5/518]
DOA DI BULAN RAMADHAN
HARI PERTAMA: “Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang yang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan ampunilah aku wahai Tuhan Maha Pengampun daripada segala dosa.”
HARI KE-2: “Ya Allah, dekatkanlah aku kepada keredaan-Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan-Mu. Beilah aku kemampuan membaca ayat-ayat-Mu dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.”
HARI KE-3: “Ya Allah, limpahkan aku kepada kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagianku daripada kebaikan yang Kau turunkan, demi kemurahan-Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.”
HARI KE-4: “Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku untuk melaksanakan perintah-Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan-Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan-Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.”
HARI KE-5: “Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba-Mu yang salih serta jadikanlah aku di kalangan aulia (orang yang mendapat keutamaan-Mu) yang hampir di sisi-Mu dengan kelembutan-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala pengasih.”
HARI KE-6: “Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiatku kepada-Mu dan janganlah menyeksaku dengan balasan-Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan-Mu, dengan anugerah dan bantuan-Mu, wahai Tuhan keinginan orang yang berkeinginan.”
HARI KE-7: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malam. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosa. Dan berilah aku zikir untuk mengingati-Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk)-Mu. Wahai Pemberi Petunjuk kepada orang yang sesat.”
(Sumber doa: Majalah Nur, November 2004)
YA ALLAH, KUMENGHARAPKAN RAMADHAN KALI INI PENUH MAKNA
AGAR DAPAT KULALUI DENGAN SEMPURNA..
Diam
1 year ago
0 comments:
Post a Comment