RSS

Ukhuwwah itu...



Ukhuwwah itu...
Bukan dikira dengan banyaknya pertemuan
Bukan dikira dengan jarak yang memisahkan
Tapi...ia adalah satu keterikatan hati
Walaupun jauh, walaupun jarang berjumpa
Tapi dirasakan amat dekat
Dirasakan ada yang sentiasa menemani

Ukhuwwah itu..
Bukan sekadar simpati
Tapi mempunyai rasa empati
Ibarat satu anggota badan
Jika sakit satu anggota badan itu
Maka anggota lain juga akan terasa sakit
Bisakah kita tersenyum dan ketawa
Tika sahabat kita sedang menderita

Andai punya rasa ukhuwwah
Kita turut gembira jika sahabat kita gembira
Dan turut mengalirkan air mata jika dia mengalirkan air mata
Sahabatlah tempat kita berkongsi rasa
Tempat berkongsi suka dan duka
Bukan hanya bersama
Tika dia sedang gembira

Kita terlupa
Di sebalik senyumnya
Di sebalik ketenangan wajahnya
Ada cerita duka yang disembunyikan
Ada cerita yang ingin dikongsikan
Kita tidak akan pernah tahu
Jika kita tidak pernah manyelami hatinya
Kadang-kadang, sikapnya juga
Dipengaruhi oleh sejarah lampaunya
Dan pengalamannya

Oleh itu, ambillah masa
Untuk menyelami sahabat kita
Jadilah seorang pendengar yang baik
Dengan itu, kita akan lebih memahami sahabat kita
Dan..
Ukhuwwah akan menjadi lebih indah
Jika semuanya kerana Allah

Read Users' Comments (0)

Hikmah Di Sebalik Sakit




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Catatan ini bukanlah bertujuan untuk memberitahu apa yang sedang kualami, tetapi lebih kepada satu perkongsian, Insya-Allah..

Sejak balik dari product launching semalam, badanku habis sakit-sakit. Badan terasa seram sejuk dan tak larat untuk bangun. Aku sudah merasakan aku diserang demam. Bermula dari semalam sampailah hari ni, aku hanya tidur sepanjang hari. Apabila bangun sahaja, kepala rasa berdenyut-denyut dan menyucuk-nyucuk. Cecair kuning mula keluar dari mulutku. (Walaupun hanya sedikit makanan yang kumakan kerana tiada selera). Sakitnya, hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seakan sudah bersedia menghadapi situasi ini kerana berdasarkan pengalamanku sebelum ini, jika aku demam pasti teruk. Aku baru bercadang ingin masuk lab pada esok hari dan lusa (hari Ahad). Lusa aku ada test. Aku merancang, namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Hanya Allah yang lebih mengetahui...

Apabila sakit, barulah kita mengerti nikmat sihat. Barulah kita menghargai kesihatan yang Allah beri kepada kita selama ini. Selain itu, hikmah yang sering kita perolehi adalah pada waktu sakitlah kita akan dapat mengenali sahabat yang benar-benar take care kepada kita. Benarlah, kawan ketawa mudah dicari, namun kawan menangis sangat sukar dicari ganti. Tak ramai sahabat yang dapat bersama-sama kita di waktu kita sedang susah. Yang ramai, kawan yang bersama-sama kita ketika kita senang.

Ketahuilah, pada waktu sakitlah kita akan menyedari Yang Teramat Menyayangi kita adalah Allah dan Rasulullah s.a.w. Biarlah sakit itu menjadi kifarah dosa yang telah kita lakukan selama ini. Bukankah Allah telah janjikan yang dosa-dosa kita akan diampunkan walaupun tertusuk duri. Maha Penyayangnya Allah..Biarlah sakit itu menyebabkan kita hanya bergantung harap kepada-Nya. Tiada lagi insan yang sentiasa menemani kita, yang benar-benar memahami kesakitan yang sedang kita alami. Selepas Allah dan Rasulullah, yang menyayangi kita adalah ibu bapa kita. Walaupun mungkin mereka tidak menunjukkan kasih sayang mereka, tapi percayalah bahawa mereka amat menyayangi kita..Jika mereka tahu kita sedang sakit atau ditimpa kesusahan, pasti pada masa itu juga mereka ingin terbang dan berada di samping kita. Keluargalah yang menyayangi kita selepas Allah dan Rasulullah.

Memang benar, yang hanya dapat menyembuhkan orang sedang sakit hanyalah Allah. Dan asbab penyakit itu sembuh, adalah dengan usaha, yakni makan ubat. Namun ada satu lagi faktor yang mempercepatkan sakit itu sembuh, iaitu sokongan dari orang yang terdekat. Perhatian dan kasih sayang dari orang yang di sekelilingnya..secara tidak langsung akan menjadi sokongan moral kepada orang yang sakit itu untuk melawan penyakitnya. Hanya orang yang sakit dapat mengerti soal ini. Namun, ramai yang terlepas pandang tentangnya.

Jadi, ketika sakit, kuatkanlah semangat untuk melawan penyakit itu. Ketahuilah, ada hikmah di sebalik semuanya..ilmu kita amatlah sedikit dibandingkan dengan ilmu Allah. Umpama kita mencelup sebatang jari tangan kita ke dalam lautan dan kita mengangkatnya. Air yang masih tinggal di jari kita itu diibaratkan ilmu manusia, sedangkan air lautan yang masih banyak itu diibaratkan ilmu Allah.

Buat sahabat-sahabat yang menemani dan menjengukku ketika aku sedang sakit, tiada kata yang dapat kuucapkan melainkan jutaan terima kasih. Sahabat-sahabat SERATAS, KMpK, UMT..Rasanya tidak perlulah aku sebutkan namanya di sini. Namun aku sentiasa menghargai dan mengingati wajah-wajah yang membantuku selama ini. Biarpun pertolongan yang diberikan dirasakan kecil, namun aku rasakan sangat besar. Terima kasih di atas segalanya. Moga Allah sahaja yang dapat membalasnya. Maafkanku kerana tidak menjadi sahabat yang baik kepada kalian selama ini...Wallahua’lam.

*Buat Kak Yana, terima kasih banyak-banyak kerana bawak saya ke klinik tadi..sangat terharu. Walaupun pada mulanya tak nak pergi kerana sudah dapat mengagak apa yang bakal dikatakan oleh doktor dan ubat yang akan diberikan, tapi atas ransangan akak untuk pergi ke klinik, diri ini mengalah juga. Moga Allah sahaja yang dapat membalasnya..Amin.

Read Users' Comments (0)

Cinta Allah VS Cinta Manusia

href="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhGTG18fMrk510Iyl8F1RB_O021vlfmtGtjmVbIfQ41GgVTfvEWdqND31JKatNfKBpBiBKlU53QrPulhfPiXceht_eO0UH_WNGciklR4ajIq7EAqFtoqwqbo6bKnX9OwB2rrbylBjLj2MDp/s1600/cinta.jpg">

Bismillah..

14 Oktober 2010.

Alhamdulillah product launching tadi telah selamat ditempuhi walaupun agak kelam-kabut sedikit bagi groupku. Insya-Allah semua ahli group telah cuba buat yang terbaik. Sayang, tak sempat nak ambik gambar product. Insya-Allah kalau ada gambar product dan kelapangan masa..akan dipost. Sedih juga apabila ada sesuatu yang tidak enak kudengar. Tapi terasa sangat susah untuk berlapang dada. Aku insan biasa. Cubalah wahai diri..berlapang dadalah..sedikit sebanyak ia turut mengganggu perasaanku.

Balik dari launching product tadi, tiba-tiba rasa macam aku diserang demam. Kepala rasa berdenyut-denyut ditambah dengan keletihan. Sudah lama aku tak sakit. Bukan mengharap. Teringat waktu zaman sekolah, akulah orang yang mudah diserang demam, terutamanya minggu exam. Bila sakit, barulah kita menghargai nikmat sihat.. “Ada 2 nikmat yang kita terlepas pandang dan tidak begitu menghargainya, dan bila kita kehilangan nikmat itu barulah kita menghargainya..iaitu nikmat sihat dan nikmat keamanan”.

Sebenarnya aku tak berniat untuk post pasal apa yang telah aku lalui hari ini. Pengalamanku yang biasa-biasa, biarlah kusimpan untuk diriku sahaja. Tapi apabila aku blogwalking ke blog-blog sahabat, dan apabila kubaca posting dari seorang adik, tiba-tiba rasa macam nak post something pulak.



Kata-kata ni, mungkin kita pernah dengar sebelum ni. Tapi, hati yang merasa, bukan mudah untuk menerima. Tapi ketahuilah..di sebalik perjalanan kita, ada yang mengaturkan. Dan percayalah, apa yang diaturkan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita walaupun pada pandangan kita itu adalah tidak baik.

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri,” (Surah Al-Hadid, 57: 22-23)


BELAJARLAH UNTUK HIDUP SENDIRI

Belajarlah untuk hidup sendiri...don’t misunderstanding. Tidak bermaksud kita hidup tanpa orang lain, kerana hakikatnya manusia itu saling memerlukan antara satu sama lain. Yang dimaksudkan adalah, belajarlah untuk hidup berdikari. BERDIKARI = BERDIRI DI ATAS KAKI SENDIRI. Belajarlah untuk tidak terlalu berharap dan bergantung pada orang lain. Ya, memang hidup akan lebih indah jika ada insan yang sentiasa di sisi kita. Tapi, tanyalah pada diri kita..sampai bilakah insan tersebut akan sentiasa menemani kita? Apabila sudah melangkah ke alam kerjaya, orang lain pula yang akan mewarnai hidup kita. Di saat itu, adakah kita bersedia melepaskan di saat hati telah terpaut sayang pada sahabat kita itu? Adakah kita rela merasai kesakitan kerana kehilangannya? Paling tidak, di saat kita di alam barzakh, tiada lagi yang menemani kita. Yang ada hanyalah gelap pekat, bau tanah, amalan baik dan buruk kita yang akan menemani... Benarlah kata “Jangan terlalu menyayangi seseorang kerana boleh jadi orang yang disayangi itu menjadi orang yang dibenci, dan janganlah terlalu membenci seseorang kerana boleh jadi orang dibenci itu menjadi orang yang dibenci.” Bersederhanalah!! Allah berhak memalingkan perasaan kita kerana hakikatnya Allahlah pemilik hati kita yang sebenar.

Teringat sebuah drama Melayu bersiri (tak ingat tajuk ceritanya sebab memang tak ikut setiap episod pun..kebetulan tertengok episod akhir). Ceritanya tentang seorang pemuda yang dipaksa kahwin dengan seorang perempuan oleh ibunya walaupun lelaki tersebut sudah mempunyai kekasih. Lelaki tersebut berkahwin juga dengan pilihan ibunya kerana tidak mahu dianggap sebagai seorang anak derhaka seperti yang telah dilakukan kakaknya. Di akhir episod, lelaki tersebut melepaskan semua amarahnya dan dendam yang dipendam selama ini dengan mengatakan “Tiada siapa yang boleh memisahkan dia dengan kekasihnya.” Ibunya (yang telah insaf) mengatakan, “Walaupun Allah? Jika Allah memalingkan cinta kamu terhadap kekasih kamu kepada isteri kamu, maka siapa yang dapat menghalangnya? ” (lebih kurang). Pemuda tersebut terkedu dengan jawapan ibunya. Di akhir cerita, pemuda tersebut berbaik semula dengan isterinya dan kekasihnya berkahwin dengan orang lain (Kekasihnya memberitahu pemuda itu bahawa dia akan berkahwin dengan orang lain, membuatkan pemuda itu memikirkan kembali kata-kata ibunya sebelum ini dan mengambil keputusan berbaik-baik dengan isterinya). Cerita ini juga ada kaitannya dengan ego.

Apabila terasa sakit kerana menyayangi, barulah kita sedar bahawa selama ini hati kita telah diserahkan sepenuhnya pada orang yang disayangi. Lalu, di manakah bahagian kita untuk Allah yang telah menciptakan kita? Kejam bukan, kita lupa menyerahkan hati kita pada yang lebih berhak menerimanya. Astaghfirullah, ampunilah hamba-Mu ini Ya Allah..

Kesakitan yang didatangkan pada kita adalah supaya kita kembali pada-Nya, mengadu hanya pada-Nya..itulah hakikat hamba. Betapa selama ini kita terlalu berharap pada makhluk-Nya untuk disayangi dan menyayangi..ternyata Allah amat cemburu pada hamba-Nya..lalu didatangkan kesakitan itu..di waktu itu, barulah kita tersentak, tersedar..bahawa semua itu adalah sementara sahaja..Hati kita milik siapa? Milik kitakah yang sewenang-wenangnya diserahkan pada orang lain? Cinta manusia sering mengecewakan, tapi cinta Allah adalah abadi, kerana HANYA ALLAH SAHAJALAH YANG KEKAL ABADI..

Dalam pencarian cinta itu, ada onak durinya, jatuh bangunnya..jangan mudah mengalah. Jangan mudah patah semangat. Teruslah mencari cinta-Nya..walau rebah, walau tersungkur. Ia adalah satu perjalanan yang panjang. Jangan sampai hati hilang keinginan untuk mencari cinta-Nya..

Aku juga sedang berusaha dalam perjalanan mencari cinta-Nya..mungkin selama ini cinta manusia dan dunia yang bermukim di dalam hati, sehingga cinta Allah sukar menembusi. Teruskan usaha dalam mencari cinta-Nya..moga, di hujung perjalanan yang pasti namun tidak diketahui bilakah tarikhnya, cinta Allah telah bermukin di dalam hati kita semua..Amin..

Wallahua’lam.

Read Users' Comments (0)

Ibu baru

Meow!!Meow!! Meow!!!!

Ngiauan kucing itu membuatkan jemaah wanita masjid yang baru keluar dari menunaikan solat tarawikh seolah-olah berkumpul dan tercari-cari dari manakah arah ngiauan kucing itu. Ternyata ia adalah seekor anak kucing yang kehilangan ibunya. Berbelang-belang hitam warnanya.

“Anak kucing ni tengah cari ibunya. Ada orang buang ibu kucing sekali dengan anak-anaknya. Ibu kucing kalau orang buang, kucing panik dan tinggalkan anaknya”. Seorang wanita mencelah.

Aku mengambil dan mendukung anak kucing tersebut. Risau jatuh dalam longkang yang berdekatan, memandangkan longkang tersebut agak dalam dan mempunyai jaring. Anak kucing tersebut masih kecil lagi. Tak mustahil kalau anak kucing tersebut boleh ‘celuih’ (bak kata orang utara, not sure betul tak ejaannya) dalam longkang tersebut.

“Adik bawak balik la dik. Pelihara ‘dia’. Kesian dia.”, kata seorang wanita kepadaku.

Aku menjadi serba salah. Hendak bawak balik, aku teringat cerita Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya ‘Nota Hati Seorang Lelaki’. Bimbang mati nanti. Nak tinggal saja di situ, lagi tak sampai hati. Ngiauan anak kucing ini sangat kuat memanggil ibunya.

“Macam mana ni kak. Nak bawak balik ke tak”, aku meminta pendapat Kak Yana.
“Terpulang la”. Kak Yana menyerahkan keputusan kepadaku.
“Kita bawak balik dulu la ye. Esok kita cari ibunya”. Akhirnya aku membuat keputusan setelah agak lama membatu di situ.

Lalu anak kucing tersebut dibawa balik.

Sesampai di rumah, aku meletakkan kucing tersebut dalam rumah. Aku membancuh susu tepung untuk anak kucing tersebut dan memberinya minum. Ternyata kucing tersebut tidak pandai menjilat susu tersebut. Lalu aku celupkan sedikit jariku dalam air susu tersebut dan menyuakan kepada mulutnya supaya dia dapat menjilat. Dia menggigit jariku. Ternyata dia tak pandai minum air susu selain dari susu ibunya. Ngiauannya masih kuat.

Aku melihat anak kucing tersebut seolah-olah tak kena. Berjalan-jalan ke sana sini seperti mencari ibunya. Ngiauannya kuat dan tidak henti-henti. Aku mengambil sebuah kotak yang telah ada di luar rumah. Kulapik dalamnya dengan sehelai baju yang tidak digunakan lagi. Aku membiarkan dia sementara aku menyiapkan tempat untuk dia berehat dan beradu (wah, wah! Beradu ye..). Setelah selesai, aku ingin mengambilnya dan memasukkannya ke dalam kotak tersebut. Kebetulan, aku meletakkan kucing tersebut berdekatan dengan stoking hitam yang telah aku pakai dan tanggalkan. Sebelum aku ingin mengambil anak kucing tersebut, aku sempat melihat dia menggigit dan kakinya menolak dan menarik stokingku itu seolah-olah dia sedang minum susu ibunya.

Aku mengambil anak kucing tersebut dan meletakkannya ke dalam kotak tersebut. Anak kucing itu masih lagi tak keruan dan mengiau-ngiau dengan kuat. Aku agak buntu. Lantas aku memasukkan stokingku tadi ke dalam kotak tersebut. Dengan tidak semena-mena anak kucing tersebut terus diam dan menggigit-gigit seperti tadi. Subhanallah! Anak kucing tersebut dikurniakan fitrah untuk menyusu walau tiada siapa yang mengajarnya. Akhirnya anak kucing tersebut tertidur bersama-sama stokingku itu.



Keesokan harinya, anak kucing tersebut mengiau-ngiau dengan kuat lagi. Aku menggantikan stoking hitam di dalam kotak tersebut dengan stoking biru gelap. Tapi anak kucing tersebut tidak menggigit-gigit stoking itu seperti semalam. Kelihatannya dia tidak suka dengan stoking biru gelapku. Mungkin stoking hitam itu mengingatkan dan menyangkakannya bahawa itu ibunya. Aku kembalikan stoking hitam itu ke dalam kotak tersebut. Namun lama-kelamaan, anak kucing itu seolah-olah tahu bahawa dia telah ditipu dan terus-terusan mengiau dengan kuat. Aku benar-benar telah buntu. Tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan. Petang itu, aku bertekad mahu mencari ibunya di masjid tersebut. Jika tidak berjumpa, aku merancang mahu meletakkannya di rumah tokku. Kebetulan, di rumah tokku juga ada ibu kucing dan anak-anaknya yang baru lahir. Cuma, kucing yang aku jumpa ni besar sedikit daripada kucing di rumah tokku. Teragak-agak juga mahu meletakkan di rumah tokku, kerana aku pasti ayah tehku akan membebel tanpa henti.

Kucari-cari ibunya di masjid. Tiada ibu kucing yang kelihatan. Lalu aku kembali ke rumah untuk mengambil anak kucing tersebut untukku bawa ke rumah tokku. Aku melihat-lihat meter minyak. Harap-harap sempat sampai di rumah tokku sebelum aku mengisinya semula. Kucing itu aku masukkan dalam beg dan aku pun terus memecut dengan lajunya. Dia masih lagi mengiau.

Preng..preng... “Ah, motor ni nak mati ni.” Firasatku menduga. Ternyata, motorku mati seperti yang kuduga.

Aku pun menelefon Kak Yana memintanya membelikan minyak motor untukku. Kukeluarkan anak kucing itu dari begku. Ternyata, dia terus saja mengiau dengan kuatnya. Orang yang lalu-lalang di situ memandangku. Lalu aku membelainya, memujuknya agar tidak mengiau dengan kuat.

Lama juga aku berada di situ. Aku sudah malu mencangkung terlalu lama di tepi jalan itu. Sabar..sabar...Setelah agak lama penantianku, bayangan Kak Yana pun kunjung tiba. Kak Yana menghampiriku dengan tersenyum simpul. Terima kasih Kak Yana..selalu menyusahkan akak.

Dipendekkan cerita, kami pun bergegas ke rumah tokku. Sesampai di rumah tokku, rumah kelihatan sunyi. Persis tiada orang. Lalu aku bergegas ke kotak yang terdapat di beranda rumah. Aku mengintai kucing yang berada di dalamnya. Ternyata tiada ibu kucingnya. Yang ada hanyalah 4 ekor anak kucing yang berwarna hitam sedang enak dibuai mimpi (Eh, kucing boleh bermimpi ke..he, ape-ape je la...). Aku mencari-cari ibu kucing tersebut. Ternyata dia ada di kawasan beranda tersebut. Selepas sahaja dia melihatku mengintai kotak itu, dia juga mengintai anak-anaknya di kotak tersebut . Risau aku mengambil anak-anaknya barangkali.

Kemudian aku menyuakan anak kucing yang kutemui itu kepada ibu kucing tersebut. Dia kelihatan seperti agak confius. Perlahan-lahan dihampiri anak kucing itu. Dibau-baunya persis menghidu. Tiba-tiba.....dicakarnya anak kucing tersebut. Aku dan Kak Yana agak terkejut dengan perlakuan ibu kucing itu. Lalu, ibu kucing itu lari dari anak kucing tersebut. Anak kepada ibu kucing tersebut yang hampir sama besar dengan ibu kucing tersebut (abang-abang kepada anak kucing yang di dalam kotak) merenung anak kucing yang kujumpai itu seolah-olah ingin menerkamnya.

“Jahatnya ibu kucing tu” Kak Yana berkata sponton sejurus melihat reaksi ibu kucing tersebut.
“ Macam mana ni kak. Nak tinggal sini ke tak nak?” Aku meminta pendapat Kak Yana.
“ Entahlah, akak pun tak tahu” Kak Yana menjawab.

Agak lama aku membatu di situ. Confius. Nak buat macam mana ye? Nak tinggal ke tak? Lain macam je tengok abang kucing tu. Nanti kalau dia makan macam mana? Buat naye je...Aku terus bermonolog. Aku teringat National Geography yang pernah kutonton mengenai kucing. Dikatanya kucing hidup secara sendirian. Dia tidak menyusukan anak kucing lain sepertimana singa yang menyusukan anak singa lain. Ya Allah, macam mana ni?

Akhirnya, aku mengambil keputusan nekad. Biarlah kutinggalkan dulu di sini. Esok aku akan menjenguk mereka. Lalu aku meletakkan anak kucing tersebut di dalam kotak tersebut bersama-sama anak kucing lain. Yang anehnya, sebaik sahaja aku meletakkan anak kucing tersebut ke dalam kotak itu bersama anak-anak kucing yang lain, anak kucing itu terus senyap. Tidak lama kemudian, dia tertidur. Ternyata yang diperlukan olehnya adalah kasih sayang dari ibu kucing dan adik-beradiknya. Biarlah dia menumpang kasih sayang dan menganggap ibu kucing tersebut adalah ibunya dan anak-anak kucing itu adalah adik-beradiknya. Aku sedar, sejauh mana pun kasih sayang yang manusia cuba berikan, namun ianya tidak sama bahkan tidak dapat menggantikan kasih sayang dari ibunya.

Keesokan harinya, aku pulang ke rumah tok untuk menjenguk anak kucing tersebut. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati anak kucing tersebut tiada di dalam kotak bersama anak-anak kucing lain. Puas sudah kumencari, tapi anak kucing tersebut tidak dapat juga kutemui. Aku sudah mula dirundung serba-salah. Pelbagai andaian bermain-main di fikiranku. Abang kucing makankah? Dibuang oleh ibunya kah? Yang pasti, aku yang bersalah kerana berani mengambil risiko. Jika anak kucing tersebut mati, maka secara tidak langsung aku telah membunuh kucing tersebut..Oh! Tidak!! Aku cuba bersikap positif. Aku pulang ke rumah sewa dengan perasaan yang sedih dan risau.

Pada minggu tersebut, kesibukan yang melanda membuatkan aku hampir terlupa tentang anak kucing tersebut. Pada mingu berikutnya, cuti sem merangkap cuti raya bermula. Aku sempat pulang ke rumah di Perak beberapa hari sebelum aku kembali semula ke Terengganu bersama keluarga, memandangkan aku akan beraya di Terengganu pada tahun ni. Alangkah terkejutnya dan gembiranya aku apabila mendapati anak kucing tersebut ada bersama “adik-beradik angkat” dan “ibu angkatnya”. Ternyata, hipotesis mengatakan ibu kucing tidak menyusukan anak kucing lain adalah tidak benar. Eksperimen secara tidak sengaja ini membuktikannya.

Aku menyedari, betapa tingginya kasih sayang “seorang kucing” berbanding “seekor manusia”. Ternyata, kita sebagai seorang manusia telah kalah dengan seekor haiwan. Dalam sejarah manusia, telah ramai manusia yang membuang anak (bayi) di merata-rata tempat: di tong sampah, di dalam beg, dihanyutkan ke sungai, di masjid, dihurung semut, malah ada yang sanggup membakarnya bersama-sama timbunan sampah lain. Perbuatan tersebut dilakukan pada anak sendiri, bukan pada anak orang lain. Sedangkan seekor ibu kucing dapat menerima anak kucing lain, disusukan dan dijaganya bagai anak sendiri walaupun pada awalnya dia tidak dapat menerima anak kucing itu..

Persoalannya, adakah kita sebagai seorang manusia lebih teruk dari seekor kucing? Belajarlah walau dari seekor kucing...

Read Users' Comments (1)

Surat dari kekasih

Surat dari kekasih (untukmu yang selalu kucintai)

"Saat kau bangun di pagi hari. Aku memandangmu dan berharap engkau akan berbicara kepadaKu, bercerita, meminta pendapatKu, mengucapkan sesuatu untukKu
walaupun hanya sepatah kata...

Atau berterima kasih kepadaKu atas sesuatu hal yang indah yang terjadi dalam hidupmu semalam, kelmarin, atau waktu yang lalu. Tetapi kulihat engkau begitu sibuk mempersiapkan diri untuk pergi bekerja. Tak sedikit pun kau menyedari aku dekat denganmu.

Aku kembali menanti saat engkau sedang bersiap. Aku tahu akan ada sedikit waktu bagimu untuk berhenti dan menyapaKu, tetapi engkau terlalu sibuk. Di satu tempat, engkau duduk tanpa melakukan apapun. Kemudian aku melihat engkau menggerakkan kakimu. Aku berfikir engkau akan datang kepadaKu, tetapi engkau berlari ke telefon dan menelefon seorang teman untuk sekadar berbincang-bincang...

Aku melihatmu ketika engkau pergi bekerja dan aku menanti dengan sabar sepanjang hari namun dengan semua kegiatanmu, Ku fikir engkau terlalu sibuk untuk mengucapkan sesuatu kepadaKu...

Sebelum makan siang. Aku melihatmu memandang ke
sekeliling, mungkin engkau merasa malu untuk berbicara
kepadaKu, itulah sebabnya mengapa engkau tidak
sedikitpun menyapaKu...

Engkau memandang tiga atau empat meja sekitarmu dan
melihat beberapa temanmu berbicara dan menyebut namaKu dengan lembut sebelum menyantap makanan yang
Kuberikan, tetapi engkau tidak melakukannya....

Ya, tak apalah, masih ada waktu yang tersisa dan aku masih berharap engkau akan datang kepadaKu, meskipun saat engkau pulang ke rumah kelihatan seakan-akan banyak hal yang harus kau kerjakan.

Setelah tugasmu selesai, engkau menyalakan TV. Aku tidak tahu apakah kau suka menonton TV atau tidak, hanya saja engkau selalu ke sana dan menghabiskan banyak waktu setiap hari di depannya, tanpa memikirkan apapun dan hanya menikmati acara yang ditampilkan, hingga waktu-waktu untukKu dilupakan...

Kembali aku menanti dengan sabar saat engkau menikmati
makananmu tetapi sekali lagi engkau lupa menyebut namaKu dan berterima kasih atas makanan yang telah
Kuberikan...

Saat tidur Kufikir kau merasa terlalu letih. Setelah mengucapkan selamat malam kepada keluargamu, kau melompat ke tempat tidur dan tertidur tanpa sepatahpun
namaKu kau sebut. Tidak apa-apa kerana mungkin engkau
masih belum menyedari bahawa aku selalu hadir untukmu.
aku telah bersabar lebih lama dari yang kau sedari.

Aku bahkan ingin mengajarkan bagaimana bersabar
terhadap orang lain. Aku sangat menyayangimu, setiap hari aku menantikan sepatah kata darimu, ungkapan isi hatimu, namun tak kunjung tiba...

Baiklah, engkau bangun kembali dan kembali aku
menanti dengan penuh kasih bahawa hari ini kau akan
memberiKu sedikit waktu untuk menyapaKu...
Tapi yang Kutunggu. Ah tak juga kau menyapaKu.
Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh berlalu... dan... kau masih mengacuhkan aku. Tiada sepatah kata, tiada seucap do'a, tiada pula harapan dan keinginan untuk
bersujud kepadaKU...

Apakah salahKu padamu...? Rezeki yang Ku limpahkan,
kesihatan yang Ku berikan, Harta yang Ku relakan untukmu,
makanan yang Ku hidangkan , Keselamatan yang
Ku kurniakan, kebahagiaan yang Ku anugerahkan... Apakah
hal itu tidak membuatmu ingat kepadaKu???!!!

Percayalah. Aku selalu mengasihimu, dan aku tetap
berharap suatu ketika nanti engkau akan menyapaKu, memohon perlindunganKu, bersujud menghadapKu... Kembali kepadaKu...


Yang selalu menyertaimu setiap saat...
ALLAH


* Ya Allah..betapa kami sering melupakan-Mu..tidak mengendahkan-Mu..namun Engkau tidak pernah lupa memberi rezeki kepada kami..memberi nikmat kepada kami. Zalimnya kami, betapa biadapnya kami...tamaknya kami Ya Allah, kerana sering meminta kepada-Mu nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami. Ya Allah, ampunilah kami, jadikanlah kami orang yang sentiasa mengingati-Mu dan bersyukur kepada-MU...Amin..

Read Users' Comments (0)