RSS

Ibu baru

Meow!!Meow!! Meow!!!!

Ngiauan kucing itu membuatkan jemaah wanita masjid yang baru keluar dari menunaikan solat tarawikh seolah-olah berkumpul dan tercari-cari dari manakah arah ngiauan kucing itu. Ternyata ia adalah seekor anak kucing yang kehilangan ibunya. Berbelang-belang hitam warnanya.

“Anak kucing ni tengah cari ibunya. Ada orang buang ibu kucing sekali dengan anak-anaknya. Ibu kucing kalau orang buang, kucing panik dan tinggalkan anaknya”. Seorang wanita mencelah.

Aku mengambil dan mendukung anak kucing tersebut. Risau jatuh dalam longkang yang berdekatan, memandangkan longkang tersebut agak dalam dan mempunyai jaring. Anak kucing tersebut masih kecil lagi. Tak mustahil kalau anak kucing tersebut boleh ‘celuih’ (bak kata orang utara, not sure betul tak ejaannya) dalam longkang tersebut.

“Adik bawak balik la dik. Pelihara ‘dia’. Kesian dia.”, kata seorang wanita kepadaku.

Aku menjadi serba salah. Hendak bawak balik, aku teringat cerita Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya ‘Nota Hati Seorang Lelaki’. Bimbang mati nanti. Nak tinggal saja di situ, lagi tak sampai hati. Ngiauan anak kucing ini sangat kuat memanggil ibunya.

“Macam mana ni kak. Nak bawak balik ke tak”, aku meminta pendapat Kak Yana.
“Terpulang la”. Kak Yana menyerahkan keputusan kepadaku.
“Kita bawak balik dulu la ye. Esok kita cari ibunya”. Akhirnya aku membuat keputusan setelah agak lama membatu di situ.

Lalu anak kucing tersebut dibawa balik.

Sesampai di rumah, aku meletakkan kucing tersebut dalam rumah. Aku membancuh susu tepung untuk anak kucing tersebut dan memberinya minum. Ternyata kucing tersebut tidak pandai menjilat susu tersebut. Lalu aku celupkan sedikit jariku dalam air susu tersebut dan menyuakan kepada mulutnya supaya dia dapat menjilat. Dia menggigit jariku. Ternyata dia tak pandai minum air susu selain dari susu ibunya. Ngiauannya masih kuat.

Aku melihat anak kucing tersebut seolah-olah tak kena. Berjalan-jalan ke sana sini seperti mencari ibunya. Ngiauannya kuat dan tidak henti-henti. Aku mengambil sebuah kotak yang telah ada di luar rumah. Kulapik dalamnya dengan sehelai baju yang tidak digunakan lagi. Aku membiarkan dia sementara aku menyiapkan tempat untuk dia berehat dan beradu (wah, wah! Beradu ye..). Setelah selesai, aku ingin mengambilnya dan memasukkannya ke dalam kotak tersebut. Kebetulan, aku meletakkan kucing tersebut berdekatan dengan stoking hitam yang telah aku pakai dan tanggalkan. Sebelum aku ingin mengambil anak kucing tersebut, aku sempat melihat dia menggigit dan kakinya menolak dan menarik stokingku itu seolah-olah dia sedang minum susu ibunya.

Aku mengambil anak kucing tersebut dan meletakkannya ke dalam kotak tersebut. Anak kucing itu masih lagi tak keruan dan mengiau-ngiau dengan kuat. Aku agak buntu. Lantas aku memasukkan stokingku tadi ke dalam kotak tersebut. Dengan tidak semena-mena anak kucing tersebut terus diam dan menggigit-gigit seperti tadi. Subhanallah! Anak kucing tersebut dikurniakan fitrah untuk menyusu walau tiada siapa yang mengajarnya. Akhirnya anak kucing tersebut tertidur bersama-sama stokingku itu.



Keesokan harinya, anak kucing tersebut mengiau-ngiau dengan kuat lagi. Aku menggantikan stoking hitam di dalam kotak tersebut dengan stoking biru gelap. Tapi anak kucing tersebut tidak menggigit-gigit stoking itu seperti semalam. Kelihatannya dia tidak suka dengan stoking biru gelapku. Mungkin stoking hitam itu mengingatkan dan menyangkakannya bahawa itu ibunya. Aku kembalikan stoking hitam itu ke dalam kotak tersebut. Namun lama-kelamaan, anak kucing itu seolah-olah tahu bahawa dia telah ditipu dan terus-terusan mengiau dengan kuat. Aku benar-benar telah buntu. Tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan. Petang itu, aku bertekad mahu mencari ibunya di masjid tersebut. Jika tidak berjumpa, aku merancang mahu meletakkannya di rumah tokku. Kebetulan, di rumah tokku juga ada ibu kucing dan anak-anaknya yang baru lahir. Cuma, kucing yang aku jumpa ni besar sedikit daripada kucing di rumah tokku. Teragak-agak juga mahu meletakkan di rumah tokku, kerana aku pasti ayah tehku akan membebel tanpa henti.

Kucari-cari ibunya di masjid. Tiada ibu kucing yang kelihatan. Lalu aku kembali ke rumah untuk mengambil anak kucing tersebut untukku bawa ke rumah tokku. Aku melihat-lihat meter minyak. Harap-harap sempat sampai di rumah tokku sebelum aku mengisinya semula. Kucing itu aku masukkan dalam beg dan aku pun terus memecut dengan lajunya. Dia masih lagi mengiau.

Preng..preng... “Ah, motor ni nak mati ni.” Firasatku menduga. Ternyata, motorku mati seperti yang kuduga.

Aku pun menelefon Kak Yana memintanya membelikan minyak motor untukku. Kukeluarkan anak kucing itu dari begku. Ternyata, dia terus saja mengiau dengan kuatnya. Orang yang lalu-lalang di situ memandangku. Lalu aku membelainya, memujuknya agar tidak mengiau dengan kuat.

Lama juga aku berada di situ. Aku sudah malu mencangkung terlalu lama di tepi jalan itu. Sabar..sabar...Setelah agak lama penantianku, bayangan Kak Yana pun kunjung tiba. Kak Yana menghampiriku dengan tersenyum simpul. Terima kasih Kak Yana..selalu menyusahkan akak.

Dipendekkan cerita, kami pun bergegas ke rumah tokku. Sesampai di rumah tokku, rumah kelihatan sunyi. Persis tiada orang. Lalu aku bergegas ke kotak yang terdapat di beranda rumah. Aku mengintai kucing yang berada di dalamnya. Ternyata tiada ibu kucingnya. Yang ada hanyalah 4 ekor anak kucing yang berwarna hitam sedang enak dibuai mimpi (Eh, kucing boleh bermimpi ke..he, ape-ape je la...). Aku mencari-cari ibu kucing tersebut. Ternyata dia ada di kawasan beranda tersebut. Selepas sahaja dia melihatku mengintai kotak itu, dia juga mengintai anak-anaknya di kotak tersebut . Risau aku mengambil anak-anaknya barangkali.

Kemudian aku menyuakan anak kucing yang kutemui itu kepada ibu kucing tersebut. Dia kelihatan seperti agak confius. Perlahan-lahan dihampiri anak kucing itu. Dibau-baunya persis menghidu. Tiba-tiba.....dicakarnya anak kucing tersebut. Aku dan Kak Yana agak terkejut dengan perlakuan ibu kucing itu. Lalu, ibu kucing itu lari dari anak kucing tersebut. Anak kepada ibu kucing tersebut yang hampir sama besar dengan ibu kucing tersebut (abang-abang kepada anak kucing yang di dalam kotak) merenung anak kucing yang kujumpai itu seolah-olah ingin menerkamnya.

“Jahatnya ibu kucing tu” Kak Yana berkata sponton sejurus melihat reaksi ibu kucing tersebut.
“ Macam mana ni kak. Nak tinggal sini ke tak nak?” Aku meminta pendapat Kak Yana.
“ Entahlah, akak pun tak tahu” Kak Yana menjawab.

Agak lama aku membatu di situ. Confius. Nak buat macam mana ye? Nak tinggal ke tak? Lain macam je tengok abang kucing tu. Nanti kalau dia makan macam mana? Buat naye je...Aku terus bermonolog. Aku teringat National Geography yang pernah kutonton mengenai kucing. Dikatanya kucing hidup secara sendirian. Dia tidak menyusukan anak kucing lain sepertimana singa yang menyusukan anak singa lain. Ya Allah, macam mana ni?

Akhirnya, aku mengambil keputusan nekad. Biarlah kutinggalkan dulu di sini. Esok aku akan menjenguk mereka. Lalu aku meletakkan anak kucing tersebut di dalam kotak tersebut bersama-sama anak kucing lain. Yang anehnya, sebaik sahaja aku meletakkan anak kucing tersebut ke dalam kotak itu bersama anak-anak kucing yang lain, anak kucing itu terus senyap. Tidak lama kemudian, dia tertidur. Ternyata yang diperlukan olehnya adalah kasih sayang dari ibu kucing dan adik-beradiknya. Biarlah dia menumpang kasih sayang dan menganggap ibu kucing tersebut adalah ibunya dan anak-anak kucing itu adalah adik-beradiknya. Aku sedar, sejauh mana pun kasih sayang yang manusia cuba berikan, namun ianya tidak sama bahkan tidak dapat menggantikan kasih sayang dari ibunya.

Keesokan harinya, aku pulang ke rumah tok untuk menjenguk anak kucing tersebut. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati anak kucing tersebut tiada di dalam kotak bersama anak-anak kucing lain. Puas sudah kumencari, tapi anak kucing tersebut tidak dapat juga kutemui. Aku sudah mula dirundung serba-salah. Pelbagai andaian bermain-main di fikiranku. Abang kucing makankah? Dibuang oleh ibunya kah? Yang pasti, aku yang bersalah kerana berani mengambil risiko. Jika anak kucing tersebut mati, maka secara tidak langsung aku telah membunuh kucing tersebut..Oh! Tidak!! Aku cuba bersikap positif. Aku pulang ke rumah sewa dengan perasaan yang sedih dan risau.

Pada minggu tersebut, kesibukan yang melanda membuatkan aku hampir terlupa tentang anak kucing tersebut. Pada mingu berikutnya, cuti sem merangkap cuti raya bermula. Aku sempat pulang ke rumah di Perak beberapa hari sebelum aku kembali semula ke Terengganu bersama keluarga, memandangkan aku akan beraya di Terengganu pada tahun ni. Alangkah terkejutnya dan gembiranya aku apabila mendapati anak kucing tersebut ada bersama “adik-beradik angkat” dan “ibu angkatnya”. Ternyata, hipotesis mengatakan ibu kucing tidak menyusukan anak kucing lain adalah tidak benar. Eksperimen secara tidak sengaja ini membuktikannya.

Aku menyedari, betapa tingginya kasih sayang “seorang kucing” berbanding “seekor manusia”. Ternyata, kita sebagai seorang manusia telah kalah dengan seekor haiwan. Dalam sejarah manusia, telah ramai manusia yang membuang anak (bayi) di merata-rata tempat: di tong sampah, di dalam beg, dihanyutkan ke sungai, di masjid, dihurung semut, malah ada yang sanggup membakarnya bersama-sama timbunan sampah lain. Perbuatan tersebut dilakukan pada anak sendiri, bukan pada anak orang lain. Sedangkan seekor ibu kucing dapat menerima anak kucing lain, disusukan dan dijaganya bagai anak sendiri walaupun pada awalnya dia tidak dapat menerima anak kucing itu..

Persoalannya, adakah kita sebagai seorang manusia lebih teruk dari seekor kucing? Belajarlah walau dari seekor kucing...

1 comments:

Musafir said...

Walau Ramadhan & Syawal telah berlalu, rasanya msih relevan utk dipost cerita ni..pngajaran dri sbuah pengalaman

Post a Comment