RSS

Hikmah Di Sebalik Sakit




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Catatan ini bukanlah bertujuan untuk memberitahu apa yang sedang kualami, tetapi lebih kepada satu perkongsian, Insya-Allah..

Sejak balik dari product launching semalam, badanku habis sakit-sakit. Badan terasa seram sejuk dan tak larat untuk bangun. Aku sudah merasakan aku diserang demam. Bermula dari semalam sampailah hari ni, aku hanya tidur sepanjang hari. Apabila bangun sahaja, kepala rasa berdenyut-denyut dan menyucuk-nyucuk. Cecair kuning mula keluar dari mulutku. (Walaupun hanya sedikit makanan yang kumakan kerana tiada selera). Sakitnya, hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seakan sudah bersedia menghadapi situasi ini kerana berdasarkan pengalamanku sebelum ini, jika aku demam pasti teruk. Aku baru bercadang ingin masuk lab pada esok hari dan lusa (hari Ahad). Lusa aku ada test. Aku merancang, namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Hanya Allah yang lebih mengetahui...

Apabila sakit, barulah kita mengerti nikmat sihat. Barulah kita menghargai kesihatan yang Allah beri kepada kita selama ini. Selain itu, hikmah yang sering kita perolehi adalah pada waktu sakitlah kita akan dapat mengenali sahabat yang benar-benar take care kepada kita. Benarlah, kawan ketawa mudah dicari, namun kawan menangis sangat sukar dicari ganti. Tak ramai sahabat yang dapat bersama-sama kita di waktu kita sedang susah. Yang ramai, kawan yang bersama-sama kita ketika kita senang.

Ketahuilah, pada waktu sakitlah kita akan menyedari Yang Teramat Menyayangi kita adalah Allah dan Rasulullah s.a.w. Biarlah sakit itu menjadi kifarah dosa yang telah kita lakukan selama ini. Bukankah Allah telah janjikan yang dosa-dosa kita akan diampunkan walaupun tertusuk duri. Maha Penyayangnya Allah..Biarlah sakit itu menyebabkan kita hanya bergantung harap kepada-Nya. Tiada lagi insan yang sentiasa menemani kita, yang benar-benar memahami kesakitan yang sedang kita alami. Selepas Allah dan Rasulullah, yang menyayangi kita adalah ibu bapa kita. Walaupun mungkin mereka tidak menunjukkan kasih sayang mereka, tapi percayalah bahawa mereka amat menyayangi kita..Jika mereka tahu kita sedang sakit atau ditimpa kesusahan, pasti pada masa itu juga mereka ingin terbang dan berada di samping kita. Keluargalah yang menyayangi kita selepas Allah dan Rasulullah.

Memang benar, yang hanya dapat menyembuhkan orang sedang sakit hanyalah Allah. Dan asbab penyakit itu sembuh, adalah dengan usaha, yakni makan ubat. Namun ada satu lagi faktor yang mempercepatkan sakit itu sembuh, iaitu sokongan dari orang yang terdekat. Perhatian dan kasih sayang dari orang yang di sekelilingnya..secara tidak langsung akan menjadi sokongan moral kepada orang yang sakit itu untuk melawan penyakitnya. Hanya orang yang sakit dapat mengerti soal ini. Namun, ramai yang terlepas pandang tentangnya.

Jadi, ketika sakit, kuatkanlah semangat untuk melawan penyakit itu. Ketahuilah, ada hikmah di sebalik semuanya..ilmu kita amatlah sedikit dibandingkan dengan ilmu Allah. Umpama kita mencelup sebatang jari tangan kita ke dalam lautan dan kita mengangkatnya. Air yang masih tinggal di jari kita itu diibaratkan ilmu manusia, sedangkan air lautan yang masih banyak itu diibaratkan ilmu Allah.

Buat sahabat-sahabat yang menemani dan menjengukku ketika aku sedang sakit, tiada kata yang dapat kuucapkan melainkan jutaan terima kasih. Sahabat-sahabat SERATAS, KMpK, UMT..Rasanya tidak perlulah aku sebutkan namanya di sini. Namun aku sentiasa menghargai dan mengingati wajah-wajah yang membantuku selama ini. Biarpun pertolongan yang diberikan dirasakan kecil, namun aku rasakan sangat besar. Terima kasih di atas segalanya. Moga Allah sahaja yang dapat membalasnya. Maafkanku kerana tidak menjadi sahabat yang baik kepada kalian selama ini...Wallahua’lam.

*Buat Kak Yana, terima kasih banyak-banyak kerana bawak saya ke klinik tadi..sangat terharu. Walaupun pada mulanya tak nak pergi kerana sudah dapat mengagak apa yang bakal dikatakan oleh doktor dan ubat yang akan diberikan, tapi atas ransangan akak untuk pergi ke klinik, diri ini mengalah juga. Moga Allah sahaja yang dapat membalasnya..Amin.

0 comments:

Post a Comment