RSS

Rindu



Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Orang-orang yang bertaqwa
Rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan
Keredhaan Tuhannya
Orang mukmin merindukan
Anak-anak yang soleh
Isteri-isteri yang solehah
Keluarga bahagia
Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukan
Keampunan Tuhannya
Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada Tuhan

Rindu. Ya, dirinya benar-benar rindu. Rindu saat hatinya dirasakan begitu dekat dengan Allah. Rindu saat imannya dirasakan meningkat. Rindukan suasana yang Islamik. Rindu saat dirasakan manisnya ukhuwwah yang dibina kerana Allah. Haqqul yaqin, yakni apa yang dialaminya sendiri. Bukan sekadar ‘ilmu yaqin, yakni berdasarkan apa yang dipelajarinya atau dibacanya. Ingin sekali dia memutarkan saat itu. Namun dia sedar, itu adalah mustahil baginya. Teringat kata-kata Imam Ghazali, “Yang paling jauh dari kamu ialah masa yang telah berlalu”. Dia rindu saat itu. Dia ingin mengulanginya. Namun dia tidak tahu mengapa dirasakan hatinya begitu sukar untuk sentiasa mengingati Allah. Dirasakan begitu sukar untuk istiqamah pada amalan yang pernah dilakukannya dahulu. Dirinya merenung-renung kembali. Cuba menghitung diri. “Mungkin aku berubah dulu adalah kerana faktor lain, bukan dari diriku sendiri”. Demikian hatinya berbicara.

Ya, dia tidak nafikan. Faktor luaran memainkan peranan yang amat penting. Suasana yang mendorong, peribadi sahabat-sahabatnya banyak mendorong dia untuk berubah. Walau tanpa kata-kata yang keluar dari mulut sahabat-sahabatnya, ia seakan signal yang menegur dirinya, memberi kekuatan kepadanya untuk berubah. Dia menghitung lagi. “Mungkin Allah ingin menguji kualiti diriku, supaya aku benar-benar kuat walau di mana jua aku dicampakkan, walau bagaimana suasana di tempat itu”. Hatinya berbisik lagi.

Dan sejak akhir-akhir ini, dia sering merindui sahabatnya. Perasaan sayang yang telah Allah anugerahkan padanya sejak pertama kali bertemu. Dan perasaan itu tidak pernah berubah, walau puas dicubanya. Dia sedar dia tidak dapat menipu dirinya. Kekadang dia berasa amat bersalah pada Tuhan yang menciptakan dirinya. Terlalu bersalah. Begitu senangnya dia merindui dan menyayangi makhluk-Nya berbanding Penciptanya. Oh, begitu lemahnya manusia! Dia yakin ada hikmah di sebaliknya. Yang pastinya, nama itu sentiasa berada di hatinya…

Begitulah hakikat manusia. Dikurniakan pelbagai perasaan. Ada yang datang dari Allah, ada yang datang dari nafsu, malah ada yang datang dari syaitan. Itulah istimewanya manusia. “Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (Surah at-Tin 95: 4). Disebabkan itulah, darjat manusia dikatakan lebih tinggi dari malaikat, jika manusia itu bertakwa. Malaikat boleh bersujud bertahun-tahun lamanya, kerana malaikat tidak ada nafsu. Yakni tidak merasa penat, rasa lapar, mengantuk, dan sebagainya. Sedangkan manusia, dikurniakan nafsu. Jadi apabila manusia dapat melakukan ketaatan kepada Allah walaupun rasa penat, rasa mengantuk, ditambah pula godaan syaitan, darjatnya adalah lebih mulia dari malaikat. Namun, jika seseorang manusia itu melakukan kezaliman kepada dirinya sendiri, orang lain ataupun alam sekitar, sedangkan manusia dikurniakan akal fikiran, darjatnya adalah lebih hina dari haiwan.

Sebagai contoh, kes pembuangan bayi yang telah berleluasa sejak akhir-akhir ini. Menakutkan. Jika kita amati, ada atau tidak haiwan membuang anaknya? Ada atau tidak haiwan membiarkan anaknya lemas di dalam sungai? Ada atau tidak haiwan membiarkan anaknya rentung dijilat api? Saya pasti anda lebih tahu jawapannya. Manusia kini telah hilang sifat kemanusiaan. Telah hilang rasa kasih sayang. Telah hilang sifat bertuhan. “Ya Rasulullah, ampunilah umatmu ini…kami tidak menghargai perjuanganmu, tidak menghargai pengorbananmu…Andainya engkau Ya Rasulullah masih hidup di zaman ini, tentu engkau sedih melihat umat yang kain rosak..Sedangkan bila tibanya engkau sedang nazak, dalam kepayahan, kalimah “ummati, ummati, ummat…” masih lagi meniti bibirmu..betapa cintanya engkau kepada kami..sedangkan kami masih lagi menjadikan artis sebagai idola kami, bukannya engkau ya Rasulullah..malunya kami Ya Rasulullah..malunya kami menerima jaminan bahawa kami sebagai umatmu akan masuk ke syurga terlebih dahulu sebelum umat-umat yang lain..Ya allah, ampunilah kami….”

0 comments:

Post a Comment